PROPOFOL dikatakan antara punca Raja Pop meninggal dunia.
LOS ANGELES: Raja Pop, Michael Jackson, mati akibat diberi ubat penahan sakit yang kuat, Demerol, oleh pembantu doktor peribadinya, Dr Conrad Murray, ketika Murray sedang tidur. Murray dilaporkan mengakui kepada polis beliau memberi Raja Pop itu ubat bius, Propofol, pada hari sama, lapor tabloid paling laris di Britain, The Sun. Jackson dikatakan terjaga daripada tidur selepas kesan ubat berkenaan habis dan meminta ubat penahan sakit. Pembantu Murray kemudian memberi Demerol, yang membawa kematian Jackson, 50
Kombinasi Demerol dan Propofol yang dikenali dengan jenama Diprivan mengakibatkan serangan jantung yang kuat. Sumber mendakwa, pakar jantung itu sedang tidur dan tidak memberi perhatian apabila jantung Jackson berhenti berfungsi. Apabila bangun tidur dan mendapati Jackson sudah meninggal dunia, beliau berusaha sedaya upaya untuk memulihkannya.
"Michael terjaga dan meminta pembantunya Demerol ketika Murray masih tidur. Pembantu Murray memberinya tetapi ia terlalu awal selepas beliau diberikan ubat bius. Inilah penyebab kematiannya," kata sumber itu. Jackson pada mulanya mengambil Demerol bagi mengawal kesakitan kulit kepalanya yang terbakar ketika penggambaran iklan Pepsi. Propofol hanya diberikan di hospital – boleh diberikan menerusi titisan tiub secara dikawal. Ketika ubat itu dimasukkan kepada pesakit, nadi dan denyutan jantung serta tahap oksigen dalam darah pesakit perlu dipantau. Alat ECG akan menunjukkan sama ada denyutan jantung pesakit mendatar, sementara alat pengukur nadi akan berbunyi jika bekalan oksigen berkurangan.
Tiada satu pun peralatan berkenaan ditemui ketika polis menggeledah rumah Jackson di Holmby Hills berikutan kematiannya, lapor The Sun. – Agensi
No comments:
Post a Comment