Waktu Brunei

Wednesday 7 October 2009

KISAH HIDUP P.RAMLEE


P.Ramlee, nama sebenarnya Teuku Zakaria dilahirkan pada pagi Hari Raya Aidilfiri, Rabu, 1 Syawal ketika khatib sedang membaca khutbah hari raya di Masjid Counter Hall Pulau Pinang. Bapanya bernama Teuku Nyak Puteh bin Teuku Nyak Karim dan ibunya berasal dari Kampung Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang bernama Che Mah binti Husin. Kebanyakan penulis dan pengkaji seniman ini mencatatkan tarikh lahir P.Ramlee pada 22 Mac 1929.
Tarikh lahir sebenar P.Ramlee masih menjadi tanda tanya. Ini adalah kerana apabila kita mengkaji sepadanan tarikh masihi dan tarikh hijrah, tanggal 22 Mac 1929 itu sebenarnya tidak jatuh atau tidak bersamaan dengan 1 Syawal.
Mengenai tarikh lahir ini sahabat P.Ramlee, Dato’ Jamil Sulong menceritakan, “ Sebagai pengarah di Studio Jalan Ampas, bilik Ramlee terletak bersebelahan dengan bilik saya. Kami sering kunjung mengunjung untuk berbual-bual mengenai filem dan lain-lain. Secara kebetulan Ramlee dan saya ada mengambil insurans melalui ejen yang sama iaitu AIA. Pada hari Ramlee berkemas-kemas di biliknya di pejabat Studio Shaw Brothers di Jalan Ampas, Singapura pada pertengahan bulan April 1964 untuk berhijrah ke Kuala Lumpur, saya telah masuk berjumpa dengan Ramlee. Semasa di bilik itu, saya terpandang sijil insurans dan sekeping salinan cabutan surat beranak yang diterimanya. Memikirkan kami akan berpisah dan entah bila akan bertemu semula, saya meminta membuat salinan fotokopi salinan sijil insurans dan salinan cabutan surat beranaknya itu.”
“Salinan surat beranak itu telah saya serahkan kepada Pustaka Peringatan P.Ramlee sewaktu dalam penajaannya dahulu. Dari salinan surat beranak tersebut saya dapati bahawa orang yang bertanggjungjawab melaporkan kelahiran Ramlee bernama Hoosain. Beliau melaporkan hal itu selepas 5 hari Ramlee dilahirkan, iaitu pada 27 Mac 1929. Hoosain tidak diberi hak kebenaran mendaftarkan nama Ramlee maka pegawai pendaftaran menulis di borang itu sebagai “anak ini belum dinamakan”. Hanya pada 26.3.1960 barulah ditulis RAMLI BIN PUTEH pada sijil surat kelahiran itu. Sayang sekali kalau surat pendaftaran kelahiran ini hanya berupa seperti ini, rekod nama Ramlee yang sebenar Teuku Zakaria tiada langsung malah nama bapanya Teuku Nyak Puteh pun tidak dicatatkan. Perhatikan juga dalam salinan sijil pendaftaran kelahiran tersebut, berlaku kesilapan menulis nombor tahun dan tandatangan pegawai pendaftar yang membetulkan nombor tahun tersebut. Pada awalnya beliau menulis tahun 1925, kemudian tahun 1927 dan akhirnya di tukar kepada tahun 1929. Adakah pegawai pendaftaran itu tersilap? Atau tidak dapat kepastian mengenai tarikh/tahun sebenar Ramlee dilahirkan dari orang yang melaporkan? Sewaktu Ramlee mula-mula membuat permohonan polisi insurans tersebut, beliau memberikan tarikh lahirnya pada 22 Mac 1927 apabila salinan cabutan sijil kelahiran nombor 633113, maka di bawah sijil polisi insurans itu dimasukkan tarikh 22 Mac 1929 sebagai tarikh lahir Ramlee.”
Sewaktu masih kecil Teuku Zakaria yang dipeliharan ibubapanya Che Mah dan Nyak Puteh mengalami sedikit masalah. Dalam sesetengah masyarakat melayu, jika sekiranya anak kecil sering demam dan sakit mereka percaya bahawa nama yang diberikan kepada bayi sewaktu lahir tidak sesuai. Jadi untuk menghilangkan masalah sakit yang berulangan maka satu cara untuk mengatasinya ialah dengan menukarkan nama yang telah diberikan kepada bayi tersebut kepada nama lain. Masyarakat Melayu dulu-dulu juga percaya bayi itu mesti diserahkan kepada satu keluarga angkat untuk dipelihara bagi satu tempoh waktu untuk menghilangkan badi penyakit tersebut. Demikianlah halnya dengan Teuku Zakaria. Beliau kemudiannya telah diserahkan kepada sebuah keluarga angkat disebelah ibunya dan namanya telah ditukarkan kepada nama Ramlee.
Setelah tamat pantang, ibu dan bapa P.Ramlee telah berpindah rumah kuarters Estern Smelting iaitu di alamat 25A Jalan Timah, Kampung Jawa Pulau Pinang kerana pada waktu itu Nyak Puteh telah mendapat kerja sebagai peon di kilang melebur bijih timah. Tempat tinggal pekerja yang dihuni oleh Nyak Puteh bersama isterinya Che Mah dan anaknya ini, asalnya adalah merupakan kuarters papan satu tingkat yang kemudiannya dirobohkan dan diganti dengan kuarters batu bata empat tingkat pada tahun 60-an. Semasa pemerintahan Tentera Jepun, P.Ramlee ikut berkerja bersama-sama bapanya di kilang melebur biji timah ini buat beberapa waktu sebelum beliau berhijrah ke Singapura untuk menerima tawaran kerja sebagai penyanyi latar bagi filem-filem di Studio Jalan Ampas pada 8 Ogos 1948.
Ramlee mendapat pendidikan rendah di sebuah sekolah yang berhampiran dengan rumahnya iaitu Sekolah Melayu Kampung Jawa yang kini masih wujud. Di waktu petang Ramlee belajar agama dengan bekas kadi Georgetown Ustaz Sheikh Ahmad Baladram. Bapa Ramlee seorang yang tegas dalam soal agama dan Ramlee telah dididk untuk menjaga solat lima waktu. Semasa diperingkat rendah Ramlee menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar, beliau telah menggesa bapanya untuk mengantarkannya ke sekolah walaupun belum cukup umur.
Dalam tahun 1939, Ramlee melanjutkan pelajaran ke Sekolah Francis Light. Sekolah Francis Light ketika itu merupakan Sekolah Inggeris terulung di Pulau Pinang dan masih wujud sebagai sekolah rendah kebangsaan pada masa kini. Semasa bersekolah di Sekolah Francis Light, perwatakan Ramlee mulai berubah, beliau mula terpengaruh dengan sikap nakal kawan-kawannya yang kebanyakkan terdiri dari keluarga yang berpendapatan rendah. Di sinilah minatnya dalam bidang nyanyian dan lakonan mula kelihatan. Ramlee belajar di Sekolah Francis Light ini sehingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.
Semasa pendudukan Jepun, sepertimana penduduk Pulau Pinang yang lain, hidup di bawah tentera Jepun bukanlah mudah. Pada peringkat awalnya Ramlee ikut sama bekerja menjadi peon di Eastern Smelting di tempat bapanya bekerja dan menjadi jurubahasa sambilan kepada majikannya Keran bimbang ditangkap dan dihantar sebagai buruh keretapi maut, Ramlee mengambil keputusan menyertai Sekolah Tentera Laut Jepun yang dinamakan Kaigun Gakko. Di sekolah ini bukan sahaja dapat menunjukkan pencapain akademik yang cemerlang malah berpeluang untuk belajar muzik biarpun masih berperangai nakal dan suka ponteng sekolah. Guru muziknya Hirahe San mengajar Ramlee bermain piano, biola dan ukelele. Di Sekolah Latihan Angkatan Laut ini juga Ramlee menjadi guru bagi rekrut pelatih yang baru dan sebagai Kyuco kadet sehingga Jepun menyerah kalah. Ramlee juga diberi peluang menyertai konsert-konsert yang diadakan oleh tentera Jepun. Sewaktu berada di Sekolah Angkatan Laut Jepun inilah Ramlee berkenalan dengan Sukardi yang kemudian menjadi sahabat karibnya yang sama-sama ikut serta dalam pancaragam dan juga sama-sama ikut berhijrah ke Singapura untuk menerima tawaran kerja di Studio Jalan Ampas.
Selepas Jepun menyerah kalah dan tamat perang pada tahun 1945, Ramlee menyambung pengajian akademiknya di Sekolah Penang Free School, sekoilah elit yang terulung di Pulau Pinang sehingga kini. Ramlee belajar di Penang Free School sehingga Standard 7 ( bersamaan Tingkatan 3 sekarang ini). Berabnding dengan semasa di sekolah rendah, prestasi akademiknya di peringkat sekolah menengah hanyalah sederhana. Namun tahap keupayaan dalam mata pelajaran bahasa Melayu adalah cemerlang. Ramlee mendapat markah tertinggi di Pulau Pinang dalam subjek ini pada peperiksaan akhir Standard 7 pada tahun 1947. Prestasi keseluruhannya adalah menurun disebabkan kegiatannya yang sangat aktif dalam nyanyian. Rakan-rakan sekolahnya memberitahu bahawa ketika itu adalah “a part-time student, a full-time star” bermaksud pelajar separuh masa dan seniman sepenuh masa sama seperti yang terjadi dalam filem Masam-Masam Manis “. Selain matapelajaran Bahasa Melayu, Ramlee juga cemerlang dalam matapelajaran lukisan. Bahasa Melayunya sentiasa mendapat pujian dan hadiah yang menjadi penawar hati guru-gurunya yang jengkel kerana kelemahannya dalam matapelajaran yang lain selain dari kenakalannya yang suka ponteng sekolah. Dalam bahasa Jepun, Ramlee dapat menguasai bahasa itu dalam masa yang singkat sehingga membolehkannya menjadi jurubahasa dan menyanyi lagu-lagu Jepun dengan lancar dan fasih. Pelncapaian bahasa Inggerisnya juga agak baik walaupun beliau bukannya seorang yang suka membaca buku. Satu-satunya novel yang pernah dibacanya mengikut cerita dari seorang temannya ialah Athens karya Achdiat K. Miharja. Namun demikian Ramlee adalah seorang pemerhati yang teliti dan bercita-cita besar. Ramlee suka mencari perubahan dalam kerja-kerja yang dilakukannya seperti menyanyi sampai di hadapan pengantin yang sedang bersanding ketika persembahan kumpulan pancaragam yang disertainya. Perbuatan sebegini belum pernah dibuat orang.
Semasa terlibat dalam kumpulan pancaragam di Pulau Pinang, Ramlee tidak hanya sekadar mahu bersuka-suka bermain muzik dan menyanyi tetapi beliau mempunyai cita-cita yang terpendam di dalam hatinya. Beliau mahu menjadi pemuzik yang terbaik, penyanyi yang terkenal dan pemimpin pancaragam. Berkat usahanya yang bersungguh-sungguh, belajar dan berlatih dengan cita-cita yang tak pernah padam, maka akhirnya Ramlee keluar sebagai Bintang Penyanyi Utara Malaya tempat Ketiga pada tahun 1945. Beliau masih belum berpuas hati. Tahun berikutnya dicubanya lagi dan kali ini beliau mendapat tempat kedua. Pada kali ketika dalam pertandingan nyanyian tahun 1947 beliau telah berjaya menjadi juara dalam pertandingan tersebut.
Dalam pancaragam yang disertainya, Ramlee cuba mencari perubahan untuk memajukan dirinya dalam bidang muzik. Dari Kumpulan Teruna Sekampung bersama-sama Sukardi, beliau bergabung dengan Pancaragam Mutiara yang bermain muzik di sebuah restoran di Butterworth. Sewaktu diadakan pertandingan keroncong seluruh Pulau Pinang dan Seberang Perai Ramlee berpindah ke Pancaragam Keroncong Pemuda Indonesia sebagai pemain biola utama. Melalui lagu Keroncong Oh Suci yang dinyanyikannya pancaragam ini telah keluar sebagai juara dalam pertandingan yang diadakan. Itulah cita-cita pada peringkat pertama.
Setelah tamatnya perang yakni masa remaja P.Ramlee, kerana keadaan masih belum stabil boleh dikatakan hampir kebanyakan murid yang datang ke sekolah nakal-nakal belaka, bukan saja malas tetapi bodoh. Jika kedatangan ada 15 hari dalam sebulan itu sudah dikira satu rekod yang baik. P.Ramlee seorang remaja yang keras hati, suka memonteng sekolah dan tidur di dalam kelas. Beliau suka menarik perhatian guru dan kawan-kawannya dengan kenakalannya itu.
Peribadi Ramlee Semasa Remaja.
Mengaji Al-Qur’an.
Selepas sekolah, Ramlee belajar mengaji dengan guru agama bernama Mak Minah Kasar. Ramlee merupakan seorang yang pandai mengaji Al-Qur’an. Suaranya yang lunak membuatkan orang tertarik mendengar bacaannya. Ramlee akan ikut mengaji sehingga lewat malam.

Seni Lakonan
Lepas mengaji, Ramlee selalu berlatih berlakon di padang berhampiran rumahnya. Adegan-adegan yang digemari seperti Hang Tuah, Robih Hood, Mark Of Zorro, Sea Hawk, Captain Blood dan Tarzan adalah karektor-karektor adalah lakonan-lakonan yang sering dilakukan oleh Ramlee dalam permainan altihan lakonan bersama kawan-kawannya. Beliaulah yang selalunya menjadi ‘hero’ dan kawan-kawannya yang lain menjadi ‘Pak Penyangak’ saja. Pelakon-pelakon filem yang menjadi inspirasinya ialah Errol Flynn, Tyrone Power dan Johnny Weismuller. Ramlee kadang-kadang pergi melepak dan bergayut di bawah pohon ceremai di depan rumah no 25A Kampung Jawa Baru ( rumah ‘master’ Ibrahim Zain, sahabat karib Ramlee sejak kecil dan sama sekolah dengannya.

Sukan
Permainan sukan yang digemari Ramlee adalah bola sepak dan sepak takraw. Ramlee pernah mewakili Pasukan Bolasepak Rumah ‘Pinhorn’ di Sekolah Penang Free School. Ramlee menjadi penjaga gol. Antara rakan sepasukannya adalah Y.M Tengku Ahmad Rithauddeen, Dato’ Zulkifli Ali dan Dato’ Eddy Choong (bekas pemimpin Badminton Negara). Ramlee pernah mewakili Pasukan Kampung Jawa ke Peratandingan Persahabatan di Pasir Gebu, Butterworth. Dalam perlawanan-perlawanan di Butterworth, beliaulah yang menjadi hero. Pernah dipijak semasa menjaga gawang (gol).
Dalam perlawanan sepak takraw, Ramlee sering bermain sebagai apit kiri. Bila bermain, mesti ‘lipat tuala’ di dahinya dan mutu permainannya cukup baik, kerapkali menjadi ‘killer’. “Master” Ibrahim zain menjadi apit kanan dan tekongnya Mat Panjang. Nama regu in dipanggil ‘Sambarcas”. Tabiat Ramlee, beliau hanya datang bermain bila gelanggang sudah siap, tidak pernah sekali datang memasang jala atau menyapu gelanggang. “Bossy Type” .
Dunia Muzik
Semasa kecil, bapa Ramlee pernah membelikannya sebuah mendolin gitar dan sebuah violin. Dengan gitar dan violin ini, Ramlee berlatih bermain muzik di rumah 25A Kampung Jawa Baru. Di atas tangga rumah inilah pada suatu hari Ramlee telah mencipta lagu ‘Azizah’ dan’Mee Jawa’’. Semasa bermain dengan Pancaragam Rangkaian Melati tahun 1946, Ramlee mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian lagu keroncong dan mendapat tempat kedua (naib johan) dengan lagu keroncong gubahannya.
Pada awal tahun 1947, Ramlee menganggotai pancaragam Coronation Amateur Party yang kemudainnya diubah nama kepada Pancaragam Teruna Sekampung. Di waktu inilah, Ramlee mula menunjukkan peningkatan bidang seni muziknya dengan bimbingan pemimpin pancaragam Mohd Zain bin Kechik. Berhasrat untuk meningkatkan lagi prestasinya, Ramlee bergabung pula dengan Pancaragam Mustika di Butterworth. Pada setiap malam Sabtu, Ramlee bersama-sama dengan Master Ibrahim akan naik frei untuk pergi berlatih bersama pancaragam itu di Butterworth.
Lagu ‘Azizah’ yang dipersembahkan Ramlee dengan iringan Pancaragam Mustika ketika pertunjukan Pertanian Melayu Di Butterworth Pulau Pinang pada 1 Ogos 1948 ( * 31 Julai 1948) mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh rantau Melayu. Dari situlah Ramlee mendapat tawaran menjadi penyanyi latar untuk filem-filem Malay Film Productions (MFP), Studio Jalan Ampas di Singapura.
Latar Belakang Keluarga Yang Sederhana
Sebenarnya Ramlee datang dari keluarga yang sederhana. Bapa Ramlee, selepas menjadi pelaut antarabangsa, bekerja sebagai peon di kilang bijih timah. Semasa mahu memasuki pertandingan nyanyian, Ramlee terpaksa meminjam sepasang lagu atau memakai sepasang baju yang baru yang ditempah oleh kawan-kawannya ( sama seperti dalam adegan dalam Filem Anakku Sazali). Ketika hendak menerima tawaran kerja di Studio Jalan Ampas, kawan-kawannyalah yang membanrtunya dalam soal pakaian. Ibubapa Ramlee sangat terkilan ketika hendak melepaskan Ramlee kerana takut dunia muzik tidak dapat menjamin masa depannya dan meminta kawan-kawan Ramlee memujuknya supaya tidak ke sana, namun azam anak muda ini terlalu kental.
Pergaulan
Semasa hayatnya, Ramlee adalah seorang yang berperibadian mulia dan bertatasusila tinggi. Beliau sangat menghormati guru-gurunya sungguhpun ada kenakalan semasa belajar., menghormati orang-orang tua, pemimpin, rakan-rakan, tidak kira buruh, penarik beca mahupun aci jual bawang. Semuanya dianggap Ramlee senagai kawan rapat. Salah seorang daripada gurunya yang menjadi kawan rapatnya ialah Cikgu Mohd Noor Ishak ( Allahyarham Cikgu Mohd Noor Tarzan) yang mesti ditemui Ramlee jika melawat Pulau Pinang. Allahyarham Cikgu Mohd Noor Ishak adalah guru Ramlee semasa bersekolah di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan dialah yang menjadi penghubung (penjinak) untuk membawa Ramlee mengadakan persembahan tiap-tiap tahun di Pesta UMNO Pulau Pinang di tahun-tahun 60-an dan 70-an.
Ramlee seorang yang tidak malu untuk mendapatkan sesuatu agar cita-citanya tercapai. Beliau akan menangis seperti anak kecil apabila kawan-kawannya dalam pancaragam di Pulau Pinang terlupa untuk mengajaknya ikut bersama dalam persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Pada masa itu beliau belum lagi tahu bermain alat-alat muzik. Beliau hanya mahu melibatkan dirinya dalam aktiviti pancaragam yang disertainya walaupun hanya sebagai tukang angkat alat-alat pancaragam. Dengan hanya bertindak sebagai tukang angkat alat-alat muzik, Ramlee sudah merasakan dirinya seolah-olah sudah bermain muzik. Ramlee hanya dapat dan tahu bermain alat-alat muzik seperti piano, biola dan ukelele setelah berguru dengan Hirahe San ketika beliau mengikut Sekolah Angkatan Tentera Laut Jepun. Sejak daripada itu, tiap-tiap malam kemana saja beliau pergi dibawanya biola bersama-samanya.

No comments:

Post a Comment