Waktu Brunei

Wednesday 7 October 2009

SENI MUZIK DAN LAGU




P.Ramlee menjadi terkenal bermula dari muzik. Muzik dan lagulah merupakan bidang awal yang diceburi P.Ramlee. Alam seni dalam hidup P.Ramlee tercetus melalui lagu dan muzik dan lagu dan muzik jugalah yang membawa beliau ke dunia perfileman.

P.Ramlee dibawa ke Studio Malay Film Productions di No 8, Jalan Ampas, Singapura oleh B S Rajhans pada bulan Ogos 1948 bukan untuk menjadi pelakon, tetapi diberi tawaran berkerja untuk berperanan sebagai penyanyi suara latar (playback singer) untuk filem-filem keluaran Shaw Brothers.

Azizah adalah antara lagu ciptaan terawal P.Ramlee disamping Mee Jawa dan Abang Dollah. Lagu Azizah merupakan 'Batu Loncatan' yang membawa tuah kepada beliau semasa lagu ini didendangkan dalam satu perayaan Pameran Hasil Pertanian (MAHA) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada hari Sabtu 1 Jun 1948. Ada dua versi irama dan lirik untuk Lagu Azizah iaitu versi asal yang rancak dan dirakamkan ke piring hitam dengan senikata ciptaannya sendiri. Versi kedua berirama perlahan digubahnya semula untuk dimuatkan dalam filem pertama arahannya Penarik Beca dengan lirik yang ditulis oleh Jamil Sulong. Lagu versi ini tidak dirakamkan ke piring hitam.

Ragam irama lagu-lagu ciptaan P.Ramlee
adalah pelbagai termasuk Melayu Asli, langgam, joget, inang, zapin, masri, keroncong hinggalah kepada unsur-unsur pengaruh muzik barat seperti twist, rock-n-roll, samba, andante, bolero, march serta gubahan ala barat dalam dendangan kumpulan Pancasitaranya.

Keupayaan P.Ramlee mencipta dan mengubah lagu adalah kerana kemampuan beliau bermain beberapa alat muzik seperti ukelele, gitar, arkodian, piano dan biola. Manakala sebahagian besar daripada lirik-lirik lagunya adalah ditulis oleh sahabat-sahabat beliau sendiri iaitu S Sudarmaji, Jamil Sulong, H M Rohaizad, Ainol Jamil, A R Tompel,S Kadarisman, S HAssan Sahab, Yusnor Ef dan Sasterwan Negara Usman Awang.

Bagi lagu-lagu yang dinyanyikan sendiri oleh P.Ramlee secara solo ataupun berduet samada bersama Saloma, Normadiah, Rahmah Rahmat, Hashimah Yon, Rubiah, Lena, Momo Latif, Nona Asiah mahupun Salbiah banyak juga lagu-lagu yang dicipta oleh penggubah lain seperti Ahmad Jaafar, Zubir Said, Osman Ahmad, Yusoff B, Ahmad Nawab dan Kassim Masdor. Nama yang paling banyak tersenarai sebagai penulis lirik bagi lagu-lagu P.Ramlee ialah S Sudarmaji diikuti oleh Jamil Sulong. Namun ada juga rakan-rakan seperjuangan dengan P.Ramlee yang masih hidup seperti Aziz Sattar, S Shamsuddin, Rosnani Jamil, Kassim Masdor dan Yusnor Ef mengatakan bahawa sesetengah lirik ciptaan P.Ramlee sendiri terpaksa menggunakan nama orang lain sebagai penulis lirik agar pihak pengurusan yang merakamkan lagu-lagu ke piring hitam akan turut mengeluarkan bayaran kepada penulis lirik tersebut, bukan hanya memberi bayaran kepada pencipta lagunya sahaja.

No comments:

Post a Comment